Guru adalah pendidik yang dikurniakan dengan pelbagai tanggungjawab.Pendidik di sekolah tidak hanya mengajar tetapi juga merupakan pemimpin.Secara sedar atau tidak sifat kepimpinan berkualiti bagi seorang guru di sekolah harus ditelusuri dan diperhalusi bagi mewujudkan iklim pendidikan yang mampu memacu kecemerlangan.
Pemimpin yang mempunyai sifat kepimpinan berhemah tinggi sentiasa dapat mewujudkan hubungan yang baik dengan kelompok yang dipimpin.Ibarat kepala memimpin badan begitulah perumpamaan yang diberikan kepada pemimpin bagi mencernakan ketokohan di dalam mengurus dan mengepalai sesebuah organisasi.Itulah jugalah corak kepimpinan yang sepatutnya ditunjukkan seorang pemimpin budiman .Maka di peringkat sekolah sudah tentulah guru besar yang dipertanggungjawabkan sebagai pemimpin kepada semua komuniti samada pendidik, pentadbir serta murid-murid.
Pemimpin berjiwa rakyat berpekerti mulia seharusnya didasari oleh himpunan ciri-ciri pekerti terpuji.Maka berikut diperincikan beberapa ciri terpenting yang harus wujud bagi setiap pemimpin hatta pendidik di sekolah.
Seorang pemimpin seharusnya beriman kepada Tuhan dan mempunyai kepercayaan dan kepatuhan kepada agama.Tidak kiralah samada guru besar atau pemimpin tersebut beragama Islam, Kristian, Hindhu ataupun Buddha, kepercayaan ini penting bagi memastikan mereka mempunyai pegangan dan dasar kepercayaan yang utuh.Bertitik tolak kepada kepercayaan kepada agama ini lah akan mencernakan peribadi terpuji selaras dengan agama yang dianuti.Manakala konsep etika dan amalan keagamaan seharusnya memberikan kekuatan jatidiri kepada pemimpin tersebut di dalam memimpin sesebuah organisasi terutama memacu kecemerlangan pendidikan di sekolah.
Selain itu, di antara ciri seorang pemimpin ialah berilmu pengetahuan yang luas.Ilmu tersebut merangkumi ilmu berteraskan ikhtisas pentadbiran pendidikan, psikologi, komunikasi serta pengetahuan semasa.Ilmu ikhtisas pentadbiran pendidikan amat penting bagi memastikan komuniti pendidikan dibawahnya seperti guru, kakitangan sekolah, serta murid dapat diurus dengan sempurna dan selaras dengan keperluan semasa di samping memenuhi aspirasi pendidikan negara.Manakala ilmu-ilmu kemanusiaan seperti psikologi dan komunikasi amat diperlukan oleh pemimpin di sekolah bagi memastikan layanan dan kemesraan yang diwujudkan sesama ahli komuniti berjalan dengan baik di samping dapat mengelakkan konflik.Sementara itu, pengetahuan yang luas tentang isu semasa bakal menjadikan minda pemimpin akan sentiasa mengikut peredaran zaman dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang.Pemimpin bercirikan perkara di atas pastinya guru yang pakar di bidang pengurusan serta bidang profesionnya.
Di Antara ciri terpenting lain yang juga harus wujud di dalam diri pemimpin di sekolah ialah mereka harus mempunyai ketinggian peribadi.Ketinggian peribadi yang dimaksudkan dari segi tutur kata bukan sahaja dari santunan bahasa penuh hemah, malah mereka harus bijak untuk berkomunikasi dengan semua peringkat umur .Komen dan kritikan yang diberikan seharusnya bersifat membina bukannya merendah-rendahkan martabat seseorang.Ketinggian peribadi juga boleh diukur dengan tingkah laku yang merendah diri tetapi tegas, tidak sombong dan memberikan layanan kepada semua pihak tanpa memilih bulu dan penuh hikmah.Pemimpin jenis ini pasti manis air mukanya, bijak mengatur kata, penuh hikmah perlakuannya serta mempunyai jatidiri dan integriti yang tinggi.
Perkara di atas akan membawa kepada ciri seterusnya iaitu mempunyai pengaruh melalui tauladan.Pengaruh melalui tauladan diterjemahkan melalui contoh yang ditunjukkan oleh pemimpin berdasarkan apa yang diungkapkannya.Pemimpin ulung harus menunjukkan contoh tauladan kepada komuniti di bawahnya melalui perlakuannya yang mendahului yang lain dengan niat untuk diteladani oleh semua.Pemimpin berjiwa rakyat sebegini akan dipandang tinggi oleh komuniti pendidikan sebagai pemimpin yang mampu mengotakan janjinya melalui tauladan.Sebagai contohnya pemimpin yang ingin melihat kakitangannya datang awal ke tempat kerja pasti menonjolkan dirinya sebagai pemimpin yang datang lebih awal daripada yang lain.
Selain itu, pemimpin yang mempunyai ciri pemimpin budiman harus memiliki visi dan misi yang jelas di dalam membangun dan mentadbir sesebuah organisasi.Ini kerana dengan kemampuan untuk membentuk visi dan misi yang jelas, barulah mudah seseorang pemimpin itu untuk membawa komuniti yang dipimpinnya ke arah mercu yang direncanakannya.Contohnya, bagi pemimpin unit dan organisasi sekolah yang mempunyai visi dan misi yang jelas pasti berusaha membawa organisasi di bawah tanggungjawabnya untuk cemerlang dari segala aspek dan dicontohi oleh yang lain.
Bagi menjadikan pemimpin itu berkredibiliti tinggi , mereka harus mempunyai kemahiran membimbing yang effektif.kemahiran membimbing ini penting bagi tujuan memperkasakan diri individu yang dibimbing bertujuan mencapai sasaran kerja yang ditetapkan dengan jaya.Guru besar yang budiman harus mampu untuk membimbing kakitangannya bagi menjamin kelangsungan budaya kerja berkualiti .Guru-guru muda terutamanya yang baru mula bertugas terutamanya dibimbing agar cepat menyesuaikan diri di dalam sistem pendidikan dan dibantu perkembangan dirinya sebaik mungkin.Manakala guru senior pula yang mempunyai kepakaran berteraskan pengalaman dibimbing untuk terus kekal aktif terutamanya dalam menginovasikan proses pengajaran dan pembelajaran serta menggalakkan budaya kajian tindakan.
Pemimpin juga mesti sedar bahawa tugas mereka bukanlah mudah. Mereka juga dikenali dan terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya. Seseorang pemimpin hendaklah berupaya membuat keputusan yang terbaik bukan sahaja terbaik untuk dirinya sendiri tetapi terbaik kepada semua pihak yang lain. Ia juga hendaklah terbaik kepada orang-orang yang dibawah pimpinannya dan semua yang terlibat dengan keputusannya secara langsung ataupun tak lansung.Sebagai contohnya apabila seseorang guru besar telah mengenal pasti beberapa masalah disiplin yang dilakukan oleh seorang guru, haruslah disiasat dan diberi pertimbangan rapi berasaskan fakta dan bukti.Andainya wujudnya keraguan munasabah yang menepati tatacara tatatertib, maka pemimpin tersebut harus membuat keputusan berbentuk amaran, penggantungan kerja atau sebagainya.Ini bagi mengelakkan kesalahan tersebut menjadi barah lantas menimbulkan sesuatu yang tidak diingini.
Begitulah sedikit sebanyak bagaimana ciri-ciri pemimpin di sekolah dapat diterjemahkan melalui kupasan ringkas tetapi berinformasi di atas.Pemimpin di sekolah harus mempunyai ilmu dan kemahiran tinggi di dalam aspek memimpin organisasi di samping cemerlang dari sudut sahsiah dan peribadinya
Friday, January 22, 2010
Subscribe to:
Posts (Atom)